Jumaat, 9 April 2010

KISAH KESEDIHAN BILAL BIN RABAH

Selepas kewafatan Nabi, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti beliau menitiskan air.

Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.

Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.

Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.

Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, bilal kesedihan. Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.

Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.

Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.

Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung kaabah dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.

“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.

Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” kegamatan madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.

Tangisan yang berpunca dari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. Rindu dan cinta terhadap kekasih Allah.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.

Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka bilal pun akur. Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijriah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan malu2..Silalah komen yeh! Wiii...