Jumaat, 21 Mac 2014

Dia Wanita Istimewa : Nailah binti Al Farafishah

Assalamualaikum...

Salam Jumaat buat semua sahabat blog. Hari ni tadi, aku tengok nasyidtv kalau tak salah nama rancangannya.. di siarkan lagu di bawah ni bertajuk 'Cinta Naela' nyanyian kumpulan nasyid Seed rain. 

Automatik aku bertanya sendiri. Siapa Naela? Dengan kadar lajunya aku pun cuba mencari siapa gerangan pemilik nama itu. Akhirnya aku jumpa nama ini... Nailah binti Al-Farafishah. Sekali lagi aku tertanya-tanya. Siapa Nailah? Namanya tak sepopular tokoh wanita @ serikandi islam yang kita kenal. Tapi percayalah... mendengarkan namanya saja kita sudah tahu, dia pasti insan istimewa.


Nasyid nyanyian Seen rain - Cinta Naela

Baik! Dah dengar lagu? Ok.. Jom kita kenal untuk cinta pula siapa Nailah binti Al-Farafishah...

Buat pengetahuan pembaca, Nailah binti Al-Farafishah adalah wanita yang dipinang & di kahwini oleh saidina Uthman bin Affan r.a. Satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Beliau (Uthman bin Affan r.a) adalah sahabat Nabi juga pernah menjadi menantu baginda Rasulullah.


Sedikit tentang Saidina Uthman bin Affan r.a...
Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Dia ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk Islam dan amat dikenali kerana sifat dermawannya kepada orang yang susah. Beliau juga berhijrah ke Habshah dan kemudian penghijrahan dari Makkah ke Madinah.


Saidina Uthman menjadi khalifah selepas Saidina Umar Al-Khattab dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam.


Sumbangan beliau untuk Islam amat besar. Salah satunya adalah berjaya menyatukan mushaf Al-Quran yang berbeza-beza kepada satu mushaf mengikut susunan mushaf yang dikumpulkan oleh Abu Bakar. Hingga hari ini, kita gunakan Mushaf Uthmani.


Beliau adalah seorang sahabat nabi yang dermawan. Semasa beliau di madinah membeli telaga air dari yahudi dan mewaqafkan ianya untuk keperluan masyarakat islam.


Beliau memperoleh gelaran “Zun Nurain yang ertinya yang memiliki dua cahaya. Sebabnya ialah kerana Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya iaitu yang pertama kali dengan Rugayyah dan sesudah wafatnya semasa Perang Badar, maka Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya pula dengan Kalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w. terhadap Saiyidina Uthman R.A.


Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadanya, “Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu."


SUBHANALLAH! MASYAALLAH! Itu cuma sebahagian kecil daripada kisah Saidina Uthman bin Affan r.a. Jom, kita kenal pula zaujahnya Nailah binti Al-Farafishah..


Diceritakan oleh Ibnu 'Asakir dan beberapa sejarahwan yang lain.

Sa'id bin Al Ash Al Umawi, seorang gabenor Kufah yang dilantik oleh Uthman bin Affan, menikah dengan seorang wanita dari bani Kalb, Hindun binti Al Farafishah bin Al Ahwash Al Kalbi. Tup tup, berita pernikahan ini sampai ke telinga Uthman bin Affan. Uthman bin Affan tahu yang gabenor Kufah itu mempunyai pemikiran yang jernih. Mesti Hindun adalah pilihan yang sesuai bagi Sa'id. Oleh itu, Uthman bin Affan menulis sepucuk surat untuk Sa'id.


Bismillahirrahmanirrahim
Amma ba'du.
Aku mendengar kamu menikah dengan seorang wanita dari bani Kalb. Beritahu aku tentang kehormatan dan kecantikannya. Segeralah tulis hal itu kepadaku.


Sa'id pun membalas.
Adapun kehormatannya, dia adalah puteri Al Farafishah bin Al Ahwash. Adapun kecantikannya, dia putih dan tinggi. Wassalamu'alaikum.


Uthman jawab surat itu.
Jika dia dia memiliki seorang saudara perempuan, maka nikahlah aku dengannya.


Lantas Sa'id menyatakan hasrat Uthman bin Affan kepada Al Farafishah, mentuanya. "Nikahkanlah puterimu dengan Amirul Mukminin," kata Sa'id kepada Al Farafishah.


Al Farafishah berkata kepada salah seorang anaknya, Dhab. "Nikahkanlah saudara perempuanmu dengan Amirul Mukminin, kerana kamu seagama dengannya." Dhab beragama Islam manakala Al Farafishah beragama Nasrani.


Saat itulah Dhab menikahkan saudara perempuannya, Nailah binti Al Farafishah dengan Uthman bin Affan yang membawanya ke kota yang bercahaya, Madinah Al Munawwarah.


Dan apabila mereka sudah berkahwin, sudah menjadi kebiasaan bagi seorang ayah akan memberikan nasihat kepada puterinya. Begitu juga dengan Al Farfishah. Antara nasihatnya :


Wahai puteriku..
Kamu akan bertemu dengan wanita-wanita Quraisy. Mereka lebih pandai daripada kamu dalam bab memakai wangian. Aku sarankan kamu untuk selalu melaksanakan 2 hal, iaitu celak dan air. Pakailah selalu celak dan harumkanlah tubuhmu dengan air sehingga harum tubuhmu seperti harumnya sebuah seramik yang disirami hujan.


Nailah benar-benar mendapat manfaat daripada nasihat ayahnya. Beliau begitu menjaga kebersihannya. Beliau faham sangat degan rahsia perkataan ayahnya, sehingga ketika sampai, Uthman sungguh terkesima dengan dirinya. Apalagi setelah membuktikan yang Nailah sangat beradab.


Ketika itu, Uthman mengusap kepala Nailah dan berdoa memohon keberkatan daripada Allah s.w.t. Nailah pun menjadi salah seorang isteri paling disayangi oleh Uthman. Dari pernikahan mereka, lahirlah Maryam binti Uthman.


Ada sebuah perbualan antara Uthman dan Nailah. (Serius aku tersenyum membaca perbualan ini.. Masyaallah!)


Uthman
"Apakah kau tak keberatan berkahwin dengan seorang lelaki tua bangka?"

Nailah
"Saya termasuk wanita yang lebih suka memiliki suami yang lebih tua."

Uthman
"Tapi aku terlampau tua."

Nailah
"Tapi masa mudamu sudah kau habiskan bersama Rasulullah s.a.w. 
Dan itu aku lebih sukai dari segala-galanya."



Uthman memuji Nailah. Salah satunya :
Aku tak pernah berjumpa dengan wanita yang lebih cerdas daripada Nailah. Malah, kecerdasannya boleh mengatasi kecerdasanku. Subhanallah!


Begitulah Nailah pada mata Uthman. Uthman amat mencintai sifat-sifat terpuji Nailah kerana sifat-sifat itu jarang dimiliki oleh wanita lain.


Nailah hidup di rumah Uthman dengan penuh penghormatan. Ketika pengepungan selama 50 hari, di rumah Uthman, orang yang tidak berenggang daripada Uthman ialah Nailah. Kaum pemberontak tidak henti-henti melempar batu dan panah ke arah rumah Uthman. Tiga orang telah terbunuh. Meskipun Abdullah telah membuat perjanjian bertulis kepada orang ramai supaya jangan berbuat sesuatu terhadap Uthman, namun masih ada dua orang yang melanggar perintah itu. Muhammad bin Abu Bakar yang mengetuai pembelotan itu. Ketika Muhammad dan seorang temannya melepaskan tali pagar rumah Uthman dan memanjat dengan tali itu, Nailah menjenguk di tingkap sehingga terurai rambutnya yang ikal.


Uthman menegur Nailah..  "Tutuplah rambutmu dengan kain tudung. Sesungguhnya, rambutmu itu lebih besar nilainya padaku daripada nyawaku,"


Nailah sudah tidak mendengar kata-kata Uthman, yang penting baginya ketika itu adalah melindungi suaminya. Kedua-dua lelaki tersebut telah berada di hadapannya. Lelaki pertama menghayunkan pedangnya pada Uthman tetapi dengan pantas Nailah menahan dengan tangannya sehingga terputus jari-jari halusnya. Nailah menjerit kesakitan.


"Rabah!" Nailah jerit memanggil Rabah. Kemudian, Nailah membunuh Rabah.Dan kemudian datang Muhammad bin Abu Bakar, dia menghayun pedangnya dan Nailah menahannya lagi sehingga terhiris jari-jari tangan yang lain.


Muhammad mencabut janggut Uthman, memukul kepala dan menikamnya. Dia menyelar tubuh Uthman dengan pedang sedangkan sewaktu itu beliau masih hidup. Apabila Muhammad hendak memotong kepala Uthman, badan Nailah sendiri yang menahannya bersama puteri Syibah. Mereka berdua ditolak lalu dipijak-pijak. Ketika Uthman terbunuh, Nailah berkata,


"Sungguh kalian telah membunuhnya padahal ia telah menghidupkan malam dengan Al Quran dalam rangkaian rakaat."


Sesudah pembunuhan itu, tak ada seorang pun yang berani datang untuk memandikan dan mengebumikan jenazah beliau sehingga Nailah menghantar utusan kepada Jubair bin Hizam dan Huwaitib bin Abd Uzza. Mereka tidak berani mengebumikannya pada waktu siang. Akhirnya, mereka keluar antara Maghrib dan Isyak untuk menanam jenazah Uthman. Nailah mendahului dengan membawa lampu kecil untuk menerangi malam. Berita kematian Uthman tersebar luas. Dan peristiwa inilah yang membawa perselisihan antara Saidina Ali dan Muawiyah yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa umat islam.


Nailah telah menghantar sepucuk surat kepada Muawiyah yang berbunyi :
"Jika 2 golongan dari kaum itu berperang, hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Dan jika yang satu dari keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, maka perangilah yang melanggar perjanjian itu sehingga mereka kembali kepada Allah."


Nailah menghantar surat itu bersama pakaian Khalifah Uthman yang telah koyak dan berlumuran darah. Pada butang bajunya diikat segumpal janggut yang dicabut oleh Muhammad Bin Abu Bakar. Dia turut mengirimkan lima jari yang terpotong. Walaupun  telah beberapa lama kematian suami, kesedihan tetap menyelubungi hatinya. Kesedihan Nailah tidak pernah putus sehinggalah Muawiyah meminangnya. Nailah menolak dan mematah-matahkan giginya sehingga orang lain bertanya,


"Mengapakah kamu patahkan gigimu yang cantik itu?"


Lalu Nailah menjawab,

"Aku tak mahu kesedihanku pada Uthman menjadi pudar sepertu pudarnya kain-kain buruk dan aku tak mahu lelaki lain tahu apa yang ada pada diriku, seperti Uthman tahu."


Sebagai seorang sasterawan dan penyair, Nailah banyak mengubah sajak dan syair yang diabadikan buat suaminya. Dia menolak perkahwinan selepas perginya Saidina Uthman. Dia tetap setia meskipun selepas kematian Uthman. Dialah wanita yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk perjuangan suaminya.

* * *
Tanya balik pada diri kita, kalaulah situasi cemas itu berlaku pada kita sekarang.... adakah kita seberani itu untuk melawan dan mempertahankan suami kita? ALLAH..ALLAH...! Semoga syurga tempatmu Nailah.




Didalam setiap untaian doa seusai solat
aku bisikkan pada Al-Khaliq..
andai suatu saat kau izinkan aku menjadi zaujah
kepada imam yang sudah lama ku nantikan...
jadikanlah aku insan yang sangat istimewa dihatinya
tidak menyusah dan membebankan
selalu bersedia menerima nasihat dan teguran
dan ikhlas dalam setiap langkah dan berbuatan
yang paling utama Ya Rabb,
jadikanlah aku teman yang menjadi penyejuk mata
dan penenang hatinya..

ALLAH..ALLAH




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan malu2..Silalah komen yeh! Wiii...